Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Saturday, December 22, 2012

Ubahsuai Rumah Di Shah Alam WAJIB dapatkan CF/CCC!

Assalamualaikum & salam sejahtera!
BERITA PENTING UNTUK WARGA SHAH ALAM!


Saya telah dipanggil bermesyuarat dengan Pengarah Jabatan Bangunan MBSA pada 20/12/2012. Tujuannya adalah penerangan & penjelasan tentang kepentingan prosedur penjagaan tapak semasa pembinaan rumah dan langkah penting yang perlu diambil untuk mendapatkan CF selepas rumah siap diubahsuai. Hal ini adalah susulan kepada kes rumah roboh di seksyen 7 dimana sekarang MBSA adalah lebih tegas dan mengambil langkah berhati-hati dalam memproses semua permohonan untuk kelulusan ubahsuai rumah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Antara perkara yang dibincangkan ialah ;

PELAKSANAAN ZON BERSIH DI SEKSYEN 12
MBSA akan melaksanakan zon bersih di seksyen 12, Shah Alam sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di seksyen 10 & 11. Jadi dalam hal ubahsuai rumah, semua projek tambahan & pindaan rumah di seksyen 12 (termasuk rumah klien saya yang dalam pembinaan kat situ) perlu mendapatkan kelulusan pelan & dibina mengikut had yang dibenarkan. Akitek/perunding diwajibkan memantau kerja-kerja pembinaan mengikut jadual kerja yang telah dirancang sehingga rumah siap & mendapat CF.

UBAHSUAI MELEBIHI HAD AKAN KENA ROBOH
Saya dinasihatkan supaya bertegas dengan semua klien/pemilik rumah yang telah mendapat kelulusan pelan, tapi telah (mengambil peluang) membuat tambahan rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan MBSA. Arahan ini adalah untuk memastikan pemilik mematuhi undang-undang dan tidak mengganggu jiran sebelah kerana saya dimaklumkan bahawa banyak kes berlaku pertikaian melibatkan aduan dari jiran sebelah sehingga MBSA terpaksa menjadi orang tengah untuk selesaikan masalah sosial pulak, walaupun masalah teknikal dah selesai!

RAYUAN UBAHSUAI RUMAH 1 TINGKAT KE 2 TINGKAT
Saya telah bertanya tentang masalah beberapa orang klien saya yang telah membuat rayuan 2-3 bulan lalu untuk membuat ubahsuai 1tkt ke 2tkt dimana rayuan mereka telah ditolak susulan kejadian rumah roboh di seksyen 7. Saya dimaklumkan bahawa buat masa ini MBSA akan pertimbangkan rayuan bagi rumah jenis lot-tepi sahaja, jadi saya diminta untuk mengemukakan rayuan kali ke-2 dan disertakan bersama surat/notis MBSA yang terdahulu untuk semakan semula. Bagaimanapun keputusan samada dibenarkan atau tidak adalah hak mutlak MBSA dan pemilik wajib mematuhi keputusan yang dikeluarkan majlis demi untuk menjaga keselamatan & keharmonian serta kepentingan jiran sebelah.


Adoih poning palo den! Banyok kojo nak buek! Bayo dahlah murah!

APA TINDAKAN SAYA SEKARANG?
- Dalam kes rayuan 1tkt jadi 2tkt, saya kena sediakan rayuan baru untuk klien & submit semula ke MBSA
- Maklumkan kepada klien yang sedang buat pembinaan supaya ikut had ubahsuai yang dibenarkan, kalau lebih kena robohlah beb...
- Submit borang B (akuan mula kerja) ke majlis sebelum klien mulakan kerja ubahsuai di tapak & pantau progress pembinaan setiap minggu
- Mendapatkan pengesahan & tandatangan kontraktor dalam borang G1-G20 bagi setiap peringkat pembinaan/pemasangan yang telah disiapkan kemukakan ke MBSA & uruskan hingga dapat CF/CCC

KESIMPULANNYA!

Mulai sekarang, khidmat penyediaan pelan ubahsuai ke MBSA yang saya uruskan adalah tidak terhenti bila anda mendapat kelulusan pelan & permit mula kerja sahaja, tapi saya wajib menjaga tapak binaan dan memantau sehingga ubahsuai rumah anda mendapat CF (macam buat rumah baru). Jadi secara otomatiknya kerja saya makin banyak, jadi kos/fee perkhidmatan saya akan bertambahlah ye, hehe jangan marah nanti kena jual daa.... jumpa lagi & selamat menyambut Tahun Baru 2013!

Monday, November 19, 2012

Kos Ubahsuai Rumah - Contractor Pro Mudahkan Kerja Mengira Kos Pembinaan Projek Anda!




 

Anda tengah pening kepala macamana nak kira bajet kos untuk mengubahsuai rumah anda? Jangan risau beb, sebab Perisian Contractor Pro akan membantu setelkan masalah anda!

Amende Perisian Contractor Pro ni brader?

Perisian Contractor Pro ini dibangunkan oleh jurutera perisian bersama seorang kontraktor berpengalaman yang amat memahami keperluan seorang kontraktor binaan dan beliau tahu apa yang diperlukan untuk berjaya dalam bisnes sebagai kontraktor ubahsuai & pembinaan.

Terdapat banyak manfaat dalam program perisian Contractor Pro ini, dan ia dibangunkan untuk membantu orang awam yang ingin mengira kos anggaran untuk mengubahsuai rumah sebelum melantik kontraktor binaan. Perisian Contractor Pro amat berguna untuk para kontraktor yang bergiat dalam sektor pembinaan untuk memudahkan kerja susunatur jadual pembinaan, penyenaraian klien, membuat senarai pembekal bahan binaan dan membuat anggaran kos pembinaan serta pengiraan kos ubahsuai rumah klien.

Perisian Desktop Pro juga menawarkan semua keperluan yang diperlukan untuk membantu para kontraktor dalam menguruskan perniagaan dan membina pangkalan data pelanggan mereka. Harga perisian Contractor Pro adalah amat berpatutan dan mampu dimiliki jika dibandingkan dengan perisian 'estimate' yang lain.

Siapa yang sesuai menggunakan perisian Contractor Pro ini?

 
Contractor Pro amat mudah digunakan & amat wajib dimiliki oleh para kontraktor, akitek, perunding reka, pereka dalaman atau sesiapa sahaja yang bergiat dalam bidang rekabentuk/pembinaan yang ingin mempercepatkan kerja-kerja membuat anggaran kos untuk bahan binaan, kerja pembinaan & ubahsuai bangunan.
Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana perisian Contractor Pro dapat membantu anda membuat anggaran kos pembinaan atau kos ubahsuai rumah anda, sila layari lamanweb http://www.ContractorProSoftware.net.tf

Friday, October 19, 2012

Risiko Ubahsuai Rumah - Bumbung Tambahan Porch Banglo Runtuh di Shah Alam!




Assalamualaikum & salam sejahtera! Kejadian dalam video diatas sangat menyedihkan saya. Berita yang saya baca dalam suratkhabar membongkar rahsia dimana pemilik banglo telah melantik kontraktor yang berpengalaman untuk kerja ubahsuai & mendapatkan kelulusan pelan, tetapi kontraktor tersebut tidak melantik akitek untuk mengemukakan pelan ke MBSA bagi mendapatkan kelulusan untuk kerja ubahsuai rumah. Saya amat sedih dengan masalah ini, mungkin kerana nak jimat duit dari bayar fee akitek/jurutera, risiko & kesannya amat bahaya sekali. 

Sebenarnya pelan akitek & pelan struktur yang disediakan oleh jurutera direka dengan teliti atas dasar keselamatan untuk memastikan mana-mana bahagian binaan dapat menampung struktur rumah atau tambahan baru yang dibina. Dan pelan-pelan tersebut wajib disemak & ditandatangani oleh pemilik sebelum dikemukakan ke MBSA, bukan disemak & ditandatangani oleh kontraktor!

Sudah tentu akitek/jurutera akan pastikan rekaan pelan & struktur ubahsuai tidak akan roboh kerana mereka juga akan bertanggungjawab ke atas projek tersebu; lesen praktis akitek & jurutera boleh ditarik semula oleh lembaga akitek/jurutera jika mereka tidak ambil peduli tentang keselamatan projek yang dikendalikan oleh mereka.

CARA UNTUK SELESAIKAN MASALAH INI ;

- Pemilik rumah wajib membuat rayuan bertulis memohon maaf ke pihak majlis disertakan alasan yang relevan, sertakan sekali lakaran pelan cadangan ubahsuai & gambar rumah sebelum/semasa/selepas ubahsuai & kemukakan ke MBSA, tingkat 8.
- Biasanya MBSA akan memberi jawapan bersurat melaui pos & pemilik akan diarahkan untuk melantik akitek bagi penyediaan pelan ke MBSA dan dimaklumkan juga bahawa pemilik perlu membayar sejumlah denda atas kesalahan ubahsuai tanpa kelulusan pelan.
-  Pihak akitek yang dilantik akan menyediakan pelan ubahsuai & akitek juga akan melantik jurutera bagi kerja penyediaan pelan struktur untuk dikemukakan ke MBSA sehingga mendapat kelulusan
- Selepas permit kebenaran mulakerja dikeluarkan MBSA, barulah klien boleh menyambung semula kerja ubahsuai 
- Pemantauan dari masa ke semasa di tapak binaan akan dilakukan oleh akitek untuk memastikan kontraktor mengikut spesifikasi pembinaan seperti yang tercatit dalam pelan yang diluluskan sehingga rumah siap & mendapat CF.

Pesan saya, lantiklah mana-mana perunding/akitek untuk menyediakan pelan & mendapatkan kelulusan dari PBT sebelum anda mengubahsuai rumah anda supaya anda dapat hidup tenang & aman. Salam kemaafan dari saya & salam takziah kepada mereka yang malang dalam kejadian ini.

Wednesday, April 11, 2012

Contoh Rekabentuk Ubahsuai Rumah di Shah Alam


Assalamualaikum & salam sejahtera! Kali ini saya nak kongsikan beberapa contoh rekabentuk ubahsuai rumah di Shah Alam yang telah mendapat kebenaran ubahsuai di Shah Alam. Pelan ubahsuai rumah bagi projek-projek tersebut telah saya kemukakan ke MBSA secara berselang-seli sejak Januari 2012 hingga Mac 2012 dan pelan-pelan tersebut telah diluluskan MBSA untuk pembinaan.

Contoh rekabentuk rumah yang diubahsuai ialah rumah kelompok 2 tingkat lot tepi, rumah teres 1 tingkat lot tepi, rumah berkembar 1 tingkat dan rumah banglo 2 tingkat, semuanya di Shah Alam.

Untuk menjaga privasi klien saya, nama dan alamat pemilik rumah serta nombor fail pelan lulus MBSA tidak dapat saya paparkan dalam blog ini, cuma saya paparkan video rekabentuk secara umum dan kawasan/seksyen di mana rumah tersebut diubahsuai.

NOTA PENTING!
Paparan video dibawah ada yang menunjukkan rekabentuk ubahsuai rumah yang melebihi had anjakan bangunan yang dibenarkan oleh MBSA, jadi visual yang dipaparkan hanyalah ilustrasi 3D yang saya sediakan sebagai persembahan kepada klien. Pembinaan yang sedang dijalankan di tapak mungkin berbeza kerana pemilik/klien perlu mematuhi garispanduan ubahsuai rumah yang telah ditetapkan oleh MBSA. Tapi kalau depa tak ikut nasihat saya & MBSA (jangan bina lebih had), itu depa kena tanggung risiko sendiri daaa...










Oleh kerana skop kerja saya sangat terhad; hanya melibatkan kerja rekabentuk pelan 2d/3d & mendapatkan kelulusan pelan ubahsuai dari pihak MBSA, saya tidak dapat menunjukkan gambar rumah yang sedang dibina @ telah siap dibina kerana saya tidak menjaga tapak binaan hingga rumah siap diubahsuai. Skop kerja ini diamanahkan kepada kontraktor yang dilantik oleh klien.

Diharap paparan video yang serba kekurangan ini dapat menjadi panduan bagi anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Jumpa lagi!

 KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA

Monday, March 19, 2012

Masalah Ubahsuai Rumah - Pemilik Lama Ubahsuai Rumah Tanpa Kebenaran Majlis


Assalamualaikum & Salam sejahtera!

Terimakasih kerana masih sudi mengunjungi blog yang brutal ini (haha). Kali ini kita nak bincangkan masalah 'Pemilik Lama buat Tambahan Rumah Tanpa Kebenaran MBSA'. Saya kaitkan hal ini dengan MBSA, kerana pengalaman saya menghadapi & menyelesaikan masalah ini di kawasan Shah Alam.

YANG BEST NYER!
Anda sebagai 2nd buyer telah membeli sebuah rumah 2nd hand di Shah Alam dan didapati pemilik lama telah mengubahsuai rumah tersebut tanpa sebarang pelan ubahsuai dan tidak pernah mendapat kebenaran ubahsuai rumah dari pihak majlis.

YANG TAK BEST NYER!
Masalahnya, anda nak ubahsuai rumah tersebut tapi tak mau dikenakan denda oleh majlis kerana ubahsuai terdahulu oleh pemilik asal tiada kelulusan.

Berikut adalah langkah penyelesaiannya ;

1. Buat semakan di MBSA, tingkat 21

Pergi ke tingkat 21, MBSA dan buat semakan fail pelan lulus lama di kaunter. Minta staf di kaunter semak alamat rumah/nama dalam database komputer MBSA samada pemilik asal rumah tersebut pernah membuat permohonan ubahsuai rumah. Jika tiada rekod permohonan, sah anda dah kena paw dengan pemilik lama, jadi anda perlu buat surat rayuan beb!

2. Buat surat akuan/rayuan

Cuba hubungi pemilik lama dan minta beliau tulis surat akuan mengesahkan ubahsuai rumah yang telah dilakukan oleh beliau tiada kelulusan dari pihak MBSA. Tapi jika pemilik lama tidak dapat dihubungi atau telah gol (gol tu mati daa), maka anda perlu tulis sendiri surat akuan tersebut dan nyatakan bahawa pemilik asal telah gol atau tidak dapat dihubungi. Nyatakan juga dalam surat tersebut bahawa anda minta dikecualikan dari denda ubahsuai rumah kerana tambahan rumah tersebut telah dibuat oleh pemilik asal.

3. Kemukakan surat akuan/rayuan ke MBSA

Buat 2 salinan surat akuan, ambil gambar rumah sediada dan buat lakaran pelan kasar bersaiz A4 bahagian rumah yang ingin anda ubahsuai. Kemukakan semua dokumen ini ke tingkat 8, Jabatan Bangunan MBSA dan minta staf kaunter cop terima salinan surat tersebut. 

Salinan surat yang dicop akan ditandatangani staf kaunter dan mempunyai tarikh terima. Salinan surat ini perlu anda simpan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan untuk 'follow-up' status rayuan anda. Pihak majlis biasanya akan menjawab dalam tempoh 14 hari bekerja melalui pos (tapi biasanya lebih lama jika melibatkan cuti umum yang panjang giller).

4. Lantik akitek/perunding

Setelah anda terima surat jawapan resmi dari MBSA yang memberi kebenaran ubahsuai dan mengecualikan anda dari didenda, maka bolehlah anda lantik mana-mana akitek/perunding yang akan menguruskan kerja rekabentuk ubahsuai rumah, menyediakan pelan ubahsuai rumah, mengemukakan pelan tersebut ke pihak majlis hingga mendapat kelulusan. 

Pihak perunding juga biasanya akan menguruskan kerja penyediaan surat rayuan dan submit ke MBSA, follow-up hingga mendapat jawapan. Dengan ini anda boleh relaks tak perlu kelam-kabut naik-turun MBSA tiap-tiap hari, hanya sediakan sedikit duit yang jumlahnya beribu-ribu untuk bayar fee perunding sahaja hahaha....mudah & murahkan?

InsyaAllah dalam blog-post akan datang, saya akan cuba bincangkan masalah ubahsuai rumah; pemilik lama ubahsuai rumah melencong dari pelan yang diluluskan pulak dah, 2nd buyer pulak nak renovate rumah tu, macamana nak dapat kelulusan & elakkan saman ubahsuai rumah melebihi had anjakan bangunan? Jumpa lagi!

Tuesday, January 24, 2012

Tips & Panduan Menghias Semula Rumah


Selamat Tahun Baru 2012! Err, walaupun dah tak berapa hari lagi nak masuk bulan Februari! Ok tahun baru ni, anda nak hias rumah supaya jadi cantik dengan bajet yang murah? Takde masalah beb! Sebenarnya rumah anda boleh dihias semula secara percuma atau hanya dengan menggunakan kos yang rendah. Antaranya dengan mengosongkan sebahagian ruang atau bilik dari perabot atau perkakas yang jarang digunakan dan cara ini akan memberikan suasana luas dan besar kepada ruang tersebut.

Pilihan warna yang neutral
, terang atau cerah dalam mengecat dinding rumah akan lebih menyerlahkan keluasan ruang daripada penggunaan warna gelap kepada dinding. Mengecat dinding dengan warna cerah juga akan menukar suasana dan mood sesuatu ruang. Begitu juga dengan menukar kertas dinding atau karpet dalam sesuatu ruang akan memberikan suasana ruang yang baru dan moden. Berikut adalah 3 tips mudah untuk menghias semula rumah anda.

1. Menyusun Semula Perkakas & Perabot Rumah

Bergantung kepada keluasan sesuatu bilik atau ruang, semua perabot dalam ruang itu perlulah dipilih mengikut kesesuaian ruang. Sesetengah orang yang mempunyai rumah kecil membuat kesilapan dengan meletakkan perabot yang besar dalam rumah mereka. Untuk mendapatkan keselesaan dalam sesuatu ruang/bilik dan menjadikan seolah-olah ruang tersebut luas, adalah baik jika anda menghiasnya secara sederhana.

Sebagai permulaan, cuba periksa setiap ruang/bilik dalam rumah anda dan tentukan atau asingkan jenis perabot yang perlu dikekalkan dan jenis perabot yang menyemakkan bilik; keluarkan perabot yang tak digunakan (dan simpan atau jual!). Jika anda ada ruang tamu yang kecil, cukuplah dengan set sofa 3-seater dan 2-seater yang sederhana besarnya, elakkan dari menggunakan set sofa yang besar dan berat giller macam set sofa eropah! Kita kan orang Asia beb?!

Sama juga dengan bilik makan, tak guna jika anda letakkan meja makan besar dengan 8-seater jika ruang makan anda kecil. Sebaiknya dapatkan set meja makan dan kerusi yang bersaiz sederhana untuk bilik makan yang kecil. Satu hal lagi, ada orang suka meletakkan apa sahaja perabot dan segala macam mak-nenek di mana-mana sudut rumah yang kosong. Ape barang beb?!

Bagi saya, ini satu kesilapan dalam teknik dekorasi rumah kerana ia akan menjadikan rumah anda yang sediada kecil menjadi semakin sempit beb! Saya cadangkan elok semua benda-alah dan segala mak-nenek perabot hiasan yang tah-hape-hape tu disimpan dalam stor sahaja.

2. Memilih Warna Cat Yang Sesuai

Dalam pemilihan warna cat untuk dekorasi rumah anda, yang terbaik ialah memilih warna cat yang neutral. Kenape? Tak pecaye ke? Cuba lihat dalam mana-mana majalah hiasan dalaman dan anda akan dapati kebanyakan ruang dalaman/luaran rumah di cat dengan warna yang neutral dan tidak menyakitkan mata memandang. Antara kesilapan yang dilakukan sebagai contoh, satu brader sudah suka dengan warna biru gelap. Lalu dengan bangganya brader ni mengecat semua dinding rumahnya dengan warna biru gelap!

Kesannya, bahagian luar rumahnya nampak suram dan ruang dalam rumah yang luas nampak gelap dan sempit. Ini antara kesilapan dalam memilih warna cat rumah sebab dalam hal ini anda perlu pertimbangkan jika di masa depan anda ingin jual semula rumah tersebut; adakah bakal pembeli akan berkenan dengan warna rumah yang suram/gelap macam rumah hantu? Aku pun tak nak beli beb! Jadi pilihlah warna cat neutral yang terang, cerah dan lembut serta sejuk mata memandang.

3. Mencantikkan Semula Rumah Dengan Stail Terkini

Jika ruang/bilik rumah anda menggunakan kertas dinding zaman tok-kaduk lebih 10 tahun dulu, maka inilah masanya untuk anda menukar semula dengan kertas dinding fesyen dan stail semasa yang terkini lagi sensasi (cewah!). Dapatkan idea corak kertas dinding dari mana-mana majalah hiasan dalaman yang terkini (bukan majalah lama 10-20 tahun dulu beb).

Dan jangan lupa, jika anda masih menggunakan karpet dengan corak atau stail lama 10 tahun lalu, sekarang jugek masa yang sesuai untuk menukar karpet tersebut dengan yang baru! Karpet yang lama anda boleh jual aje kat Ebay dan boleh dapat modal beli karpet baru heheh!

Anda juga boleh menghias siling anda dengan mengecat semula siling tersebut atau menukarkannya dengan rekaan siling moden iaitu 'ceiling tiles' yang mempunyai pelbagai corak dan warna yang boleh disesuaikan dengan mood sesuatu ruang. Siling jenis ini boleh ditukar ganti dengan senang dan penjagaannya juga agak mudah.

Kesimpulan

Sebenarnya kalau nak bincang bab tips dan panduan hiasan rumah memang sampai bila pun tak habis, jadi saya cadangkan anda dapatkan idea dan bacaan tambahan melalui mana-mana majalah atau lamanweb yang memaparkan tips dekorasi rumah. Tapi jika anda mencari sebuah panduan lengkap tentang tips dekorasi rumah secara jimat, sila download 77 PANDUAN HIAS RUMAH SECARA BAJET.

Jumpa lagi & selamat menghias rumah anda dengan bajet ciput! Jangan marah beb!

Mutiara Pengubat Jiwa